Selamat Datang.............

Selasa, Mei 08, 2012

RASULULLAH S.A.W DAN PARA SAHABAT FANA DALAM WAHYU BAQA DALAM UBUDIAH


Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Agustus 610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari, datanglah malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang sedang berkhalwat di Gua Hiraa. Jibrail a.s yang muncul secara tiba-tiba itu terus berkata: “Baca!” Nabi Muhammad s.a.w menjawab: “Saya tidak tahu membaca”. Jibrail a.s terus menangkap Nabi Muhammad s.a.w. Disergapnya baginda s.a.w dengan kain selendang dan dipeluknya sehingga baginda s.a.w mengalami kesukaran untuk bernafas. Kemudian dilepaskannya dan disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti yang pertama. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Sekali lagi Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti pertama tadi. Pelukan Jibrail a.s kali ini lebih erat dari yang pertama tadi, menyebabkan baginda s.a.w hampir-hampir tidak dapat bernafas. Kemudian baginda s.a.w dilepaskan oleh Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke tiga Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w, menutup baginda s.a.w dengan kain selendang dan memeluk baginda s.a.w dengan erat. Perbuatan yang demikian sangat melelahkan baginda s.a.w bernafas. Setelah melepaskan baginda s.a.w buat kali ke tiganya, Jibrail a.s membacakan firman Allah :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. ( Ayat 1 – 5 : Surah al-‘Alaq )
Terpatrilah wahyu pertama di dalam dada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s membacakan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w, wahyu tersebut akan melekat, terpahat pada hati baginda s.a.w, tidak akan hilang buat selama-lamanya. Baginda s.a.w mengikuti bacaan Jibrail a.s dengan fasih. Setiap huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan membuka segala tutupan dan menguraikan segala simpulan yang tidak mampu diuraikan oleh fitrah baginda s.a.w selama baginda s.a.w berkhalwat di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu disingkap oleh akal dan renungan batin sudah terjawab dengan kedatangan wahyu. Kebenaran yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran yang muktamad.
Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu dengan sepenuh jiwa raga tanpa ada keraguan. Baginda s.a.w yakin dengan kebenaran berita dan janji yang wahyu sampaikan. Wahyu senantiasa turun membimbing baginda s.a.w serta memberi ketetapan hati, meneguhkan kepercayaan dan pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan amanah yang Allah s.w.t serahkan kepada baginda s.a.w. Waktu wahyu turun kepada baginda s.a.w adalah 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.
Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui tujuh cara :
-       Cara yang pertama adalah mimpi yang benar. Apabila baginda s.a.w melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan yang kelihatan adalah terang seperti cuaca subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di dalam mimpi benar-benar berlaku.
-       Wahyu cara ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati baginda s.a.w. Baginda s.a.w mengetahui sesuatu secara spontan, tanpa berfikir atau merenung.
-       Wahyu cara ke tiga dibawa oleh malaikat Jibrail a.s yang menggunakan bentuk misal. Contohnya Jibrail a.s pernah memakai rupa salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang tampan wajahnya yaitu Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Sahabat inilah yang kemudian hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w menyampaikan surat baginda s.a.w kepada Heraklius, penguasa kerajaan Roman Timur.
-       Wahyu cara ke empat yang datang kepada Rasulullah s.a.w seperti suara loceng. Wahyu cara inilah yang paling berat dan memenatkan baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah berpeluh pada musim dingin tatkala menerima kedatangan wahyu cara ke empat ini. Pernah satu ketika paha Rasulullah s.a.w sedang menindih paha Zaid bin Sabit ketika wahyu yang seperti suara loceng ini turun kepada baginda s.a.w. Zaid merasakan seolah-olah pahanya akan pecah menanggung paha Rasulullah s.a.w yang sedang menerima wahyu tersebut.
-       Wahyu cara ke lima datang kepada Rasulullah s.a.w dengan menderu seperti suara lebah.
-       Pada cara ke enam pula Jibrail a.s datang kepada Rasulullah s.a.w dalam rupanya yang asli.
-       Wahyu cara ke tujuh adalah penyampaian secara langsung dari Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, tanpa perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh Nabi Musa a.s.
Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu tampak pada kata-kata baginda s.a.w kepada paman baginda s.a.w, Abu Talib, yang menyampaikan kepada baginda s.a.w permintaan kaumnya agar baginda s.a.w menghentikan pekerjaan dakwah. Baginda s.a.w memberikan jawaban yang tegas: “Wahai bapaku. Walaupun mereka meletakkan matahari pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku yang kiri dengan maksud daku meninggalkan tugasku, tidak akan daku tinggalkannya sehinggalah agama ini menang atau daku binasa sebelumnya!”
Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan ketergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w memperoleh bermacam-macam kemuliaan dan ketinggian tetapi segala puji-pujian dikembalikan kepada Allah s.w.t semata-mata. Apabila baginda s.a.w dipuji oleh orang, baginda s.a.w mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan tegas di dalam menanggung wahyu. Apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda s.a.w melaksanakannya sendiri terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melalui diri baginda s.a.w sendiri. Tidak ada istilah hukum yang wajib untuk umat tetapi tidak wajib untuk Rasulullah s.a.w. Hukum Allah s.w.t berjalan sama rata sama rasa, kepada Rasulullah s.a.w dan juga kepada umat baginda s.a.w. Jika umat baginda s.a.w wajib mengerjakan shalat lima waktu sehari semalam baginda s.a.w juga wajib berbuat demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi dari apa yang dikerjakan oleh orang lain. Baginda s.a.w memperbanyak shalat malam hingga bengkak tumit baginda s.a.w, tetapi umat baginda s.a.w tidak diwajibkan berbuat demikian, walaupun dianjurkan.
Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh kaum baginda s.a.w tetapi baginda s.a.w menolak mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda s.a.w lebih suka mendoakan: “Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku karena mereka tidak mengerti.” Kadang-kadang baginda s.a.w mendoakan: “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku karena mereka tidak tahu”. Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak Rasulullah s.a.w yang diasuh oleh wahyu.
Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai kebenaran yang Mutlak. Apa saja kemampuan yang ada dengan baginda s.a.w seperti fikiran, ilham dan kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin untuk menterjemahkan wahyu dan menyatakan kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi baginda s.a.w mengeluarkan buah fikiran, ilham atau kasyaf yang berbeda dengan wahyu. Baginda s.a.w menggunakan segala kemampuan baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara yang baginda amalkan menyebabkan Hadis menjadi sumber hukum setelah al-Quran. Hadis yang benar dari Rasulullah s.a.w tidak sedikitpun berbeda dengan al-Quran.
Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam dunia ini sebagai manusia biasa bukan sebagai malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w menjalani kehidupan yang ada urusan beristeri dan berkeluarga, bermasyarakat, merasakan kenyang dan lapar, sehat dan sakit dan segala aspek kehidupan manusia biasa, sampai baginda s.a.w menjalani juga proses kematian walaupun ada Nabi yang tidak menjalani proses tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani itu berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar. Baginda s.a.w adalah orang yang paling arif mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu yang baginda s.a.w tunjukkan dengan prinsip dan amalan kehidupan baginda s.a.w sendiri merupakan suasana kehidupan yang paling utama, paling baik, paling mulia dan paling tinggi. Suasana demikian juga yang dijalani oleh para sahabat baginda s.a.w. Mereka adalah golongan yang bergerak di atas muka bumi, menyebarkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai enam perkara yang menjadi dasar pembentukan umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah mereka dan melaksanakan kewajiban kehambaan kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu adalah:
1.     menyampaikan, mengajak serta membimbing umat   manusia  supaya mematuhi semua perintah Allah s.w.t dan menjauhi semua larangan-Nya dengan sepenuh kekuatan dan kebijaksanaan.
2.     bersyukur kepada Allah s.w.t yang menciptakan dan mengurniakan nikmat kesinambungan hidup sehingga umat manusia tidak menemui kesukaran di dalam menjalani kehidupan dan mendapatkan keperluan mereka.
3.     membersihkan pakaian dan perbuatan zahir serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan takwa.
4.     meninggalkan segala yang keji dan munkar seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan lain-lain yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
5.     mengikhlaskan niat dan amalan supaya kepentingan diri tidak merobohkan benteng keadilan dan supaya fitnah kebendaan tidak memalingkan tujuan ubudiah (kehambaan) terhadap Allah s.w.t.
6.     semua perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilengkapi dengan sabar karena dugaan di dalam melakukan kebaikan jauh lebih kuat dari dugaan meninggalkan kejahatan. Sabar menjadi prinsip yang kukuh mempertahankan diri dalam menghadapi halangan dan rintangan di sepanjang jalan menyebarkan dan melakukan kebaikan.
Wahyu telah memberi jawaban yang konkrit terhadap permasalahan yang tidak mampu diurai oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi Muhammad s.a.w di dalam mencari hakikat yang sebenarnya. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w terima melalui wahyu itu dipertanggungjawabkan kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula kepada sekalian manusia. Baginda s.a.w tidak bisa lagi memencilkan diri di dalam Gua Hiraa. Apabila cahaya kebenaran memancar di dalam lubuk hati dan bidang tugas dibukakan, baginda s.a.w mesti keluar kepada orang banyak, kepada dunia, bagi menyampaikan amanah yang baginda s.a.w tanggung dengan bersuluhkan cahaya kebenaran.
Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan, Yang Maha Mulia dan memiliki nama-nama yang baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian manusia. Wahyu mengajar manusia beribadah kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara berhubungan dengan sesama manusia. Wahyu sangat menekankan soal takwa yaitu mematuhi perintah Allah s.w.t, tidak keluar dari batas jalan yang lurus yang telah digariskan oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu mendidik manusia supaya hidup sebagai hamba Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah dengan tegas dan jelas meletakkan manusia pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf yang lain dari itu.
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin. Pendidikan al-Quran berkembang dengan sangat pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Jika Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran, kaum Muslimin juga sangat bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sebagian dari kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di satu kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km dari masjid Rasulullah s.a.w. Di sana mereka mendirikan rumah-rumah dan menguruskan kebun-kebun. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar adalah di antara mereka yang tinggal di Sunuh. Jarak 20 km itu tidak menghalangi mereka mempelajari al-Quran dari Rasulullah s.a.w. Mereka telah menyusun jadual pembelajaran al-Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari mereka menghantarkan dua atau tiga orang wakil dari Sunuh pergi ke Madinah. Sepanjang hari wakil dari Sunuh akan mendapatkan apa saja yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya ayat-ayat al-Quran yang baru turun. Mereka mempelajari al-Quran secara menghafal dan memahami dengan lengkap. Jika ada larangan atau perintah atau amalan yang disampaikan oleh al-Quran mereka akan mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya dari Rasulullah s.a.w. Apa saja ayat yang turun pada hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga karena pada hari esoknya mungkin ada pula ayat-ayat yang baru turun. Setelah hari petang mereka kembali ke Sunuh dan pada malam itu juga atau paling lambat keesokan harinya semua pelajaran yang diterima dari Rasulullah s.a.w sudah disampaikan kepada semua kaum Muslimin di Sunuh. Mereka mempelajari al-Quran tanpa tanggung-tanggung. Al-Quran dipelajari secara menyeluruh yaitu membaca, menghafal, memahami dan mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran yang diatur oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat-sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan sehingga mereka bisa menjalankan kegiatan harian untuk menampung perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama mereka bisa mempelajari al-Quran dengan sempurna. Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan, pertukangan dan lain-lain bisa berjalan dengan lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan dengan bersistematik. Kesungguhan mempelajari al-Quran tidak melalaikan urusan kehidupan harian.
Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada kaum Muslimin. Setiap kali turun ayat baginda s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat baginda s.a.w dan ayat yang baru turun itu disampaikan dengan pembacaan yang  betul, sebutan setiap huruf mengikuti kadar panjang dan pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang tepat sebutannya dihafal berulang-ulang sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar melekat di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak bergeser dari majlis Rasulullah s.a.w sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-Quran dengan betul dan menghafalnya dengan baik. Bukan sekedar membaca dan menghafal, malah mereka juga dilengkapkan dengan pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang maksud ayat, kedudukan susunannya di dalam al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat yang lain. Jika ayat tersebut melibatkan peraturan dan amalan maka kaedah peraturan dan amalan itu difahami benar-benar. Semua itu mereka pelajari secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah mereka pelajari itu mereka sampaikan pula kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.
Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar, pelepah-pelepah kurma yang sudah dikeringkan dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran bukan saja dipelihara di dalam dada kaum Muslimin malah ia juga dipelihara secara tertulis. Lembaran tulisan al-Quran itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran kepada umat baginda s.a.w dengan cara yang paling berkesan dan selamat. Atas kebijaksanaan baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian dapat menerima al-Quran dalam keasliannya. Selain dari jurutulis wahyu yang khusus terdapat kira-kira 40 orang yang mengambil bagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara yang demikian lebih memudahkan kaum Muslimin menyebarkan al-Quran.
Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal menghafal al-Quran. Baginda s.a.w memberi petunjuk mengenai penghafalan ayat-ayat al-Quran dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menghafal al-Quran adalah seperti orang yang memiliki unta yang diikat. Jika unta itu dijaga ia terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang”. Baginda s.a.w mengajarkan supaya mengikat hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi bacaannya sesering mungkin sesuai kemampuan. Selain dari menghafal, pemahaman dan amalan juga dititik-beratkan. Ibnu Mas’ud menceritakan: “Apabila seseorang dari kami mempelajari sepuluh ayat  al-Quran kami tidak akan berpindah kepada ayat lain sebelum kami mengetahui benar-benar maksudnya dan tahu cara mengamalkannya”. Banyak para sahabat menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada mereka secara sepuluh ayat sekali belajar, tetapi lengkap dengan menghafal, memahami maksud, tahu mengamalkannya dan tahu kedudukannya berhubungan dengan ayat-ayat lain yang turun terdahulu. Mereka mempelajari al-Quran, menyimpan serta mengamalkannya.
Rasulullah s.a.w senantiasa membaca al-Quran secara tartil, membaca dengan terang dan perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi setiap huruf dengan jelas. Cara bacaan yang demikian baginda s.a.w sebarkan kepada para sahabat. Cara tersebut selain memberi faedah kepada para pembaca juga memudahkan pendengar mengikuti serta menghafalnya.
 Rasulullah s.a.w mampu membentuk satu umat yang tidak pernah ada di atas muka bumi seperti mereka sebelumnya dan tidak akan ada lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah umat yang semua ahlinya terdiri dari orang yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran dari sudut kelembagaan negara maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli politik yang arif tentang peraturan negara. Jika dilihat al-Quran sebagai kode etika sosial maka setiap ahli masyarakatnya adalah pemimpin yang bertanggung-jawab kepada apa yang dipimpin, baik keluarga, perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jika dilihat al-Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap ahli masyarakatnya adalah perajurit yang senantiasa bersedia menyahut panggilan jihad. Jika al-Quran dilihat sebagai peraturan kehidupan maka setiap ahlinya adalah ahli syariat yang taat. Jika dilihat al-Quran sebagai penyampai khabar tentang Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli makrifat yang benar-benar mengenal Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran penyucian hati maka setiap ahli masyarakatnya adalah yang sangat mendalam pengertian mereka mengenai hati. Mereka beragama secara menyeluruh. Darah, daging, tulang, sumsun dan urat saraf adalah Muslim. Pendengaran, penglihatan, penciuman, pergerakan dan akal fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka adalah Muslim. Roh mereka adalah Muslim. Mereka memakai satu makam saja yaitu makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak tahu perbedaan istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat, makrifat, ilmu tauhid, ilmu fikih, ilmu tasauf dan yang seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran dan ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.
Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran. Lahirlah individu yang tangkas dan giat (gesit) dalam segala bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja bersungguh-sungguh dengan segala kemahiran yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan dan keperluan kaum Muslimin. Peniaga juga mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara halal untuk disumbangkan kepada pembangunan umat dan jihad fi-sabilillah. Apa saja nikmat yang diperolehi diakui sebagai karuniaan Allah s.w.t yang dipertaruhkan sebagai amanah, bukan sebagai milik individu sepenuhnya. Individu yang menerima karuniaan tersebut mengurusnya dengan cara yang diredai oleh Allah s.w.t. Apabila pemilikan harta longgar pada hati mudahlah melepaskannya demi kepentingan agama Allah s.w.t karena Allah s.w.t adalah Pemilik sebenarnya. Saidina Abu Bakar as-Siddik melepaskan kesemua hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para sahabat yang lain menyumbangkan menurut kadar masing-masing. Tidak ada yang menuntut harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya. Kaum Ansar telah membuktikannya dengan kesanggupan mereka melepaskan harta dan tanah pemilikan mereka demi membantu saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa yang dilepaskan itu diserahkan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada baginda s.a.w bagaimana mau membagikan harta Ansar tersebut.
Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin agar bergerak tangkas dan gesit dalam segala bidang untuk membentuk kehidupan yang sehat sejahtera sesuai dengan kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Kehidupan dunia yang demikian menjadi asas kepada kehidupan akhirat. Kesungguhan Rasulullah s.a.w dan para sahabat membina kesejahteraan di bumi dapat dilihat melalui program dan strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama para sahabat baginda s.a.w. Ketika berlaku Perang Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam terdiri dari 313 orang dengan alat kelengkapan perang yang sangat sederhana. Ketika berlaku Perang Uhud dalam tahun ke tiga hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan kelengkapan perang yang lebih baik dari ketika Perang Badar dahulu. Dalam tahun ke lima hijrah berlaku pula Perang Khandak. Dalam peperangan tersebut tentera Islam sudah berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang mencukupi. Dalam tahun ke enam hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1.700 orang kaum Muslimin menuju Makkah dengan bilangan kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke sepuluh hijrah baginda s.a.w memimpin 10.000 orang tentera Muslimin menaklukan kota Makkah. Bilangan kuda pada masa itu sudah berjumlah 1.000 ekor. Pada tahun ke sembilan hijrah baginda s.a.w memimpin hampir 40.000 orang tentera Muslimin ke Tabbuk dalam daerah Syam. Mereka menggunakan 10.000 ekor kuda dan 20.000 ekor unta. Mereka mampu menempuh jarak 2.000 batu yang sebagian besarnya adalah padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah membentuk 40.000 orang tentera yang tinggal di merata tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka terdiri dari bermacam-macam suku dan kaum. Kerja penyelarasan pasukan tentera yang begitu besar bukanlah mudah. 40.000 orang tentera, 10.000 ekor kuda dan 20.000 ekor unta berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum berangkat ke Tabbuk. Tempat tinggal, makan dan minum mereka semua diperlukan.
Pekerjaan yang berat itu dapat diselenggarakan oleh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Apa yang tidak dapat dibuat oleh umat lain mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w karena mereka mendapat pimpinan yang langsung dari Allah s.w.t melalui wahyu-Nya, melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah mampu membentuk umat yang menjadi penolong dan pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan di Arafah bahwa orang yang bisa menolong agama Islam adalah mereka yang memberikan sepenuh hatinya kepada Islam dan bekerja dalam segala bidang untuk Islam. Hanya mereka yang menyerahkan seluruh dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk Islam yang benar-benar mampu meninggikan Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu bidang saja, misalnya dalam bidang ibadat saja atau dalam bidang ekonomi saja atau politik saja, tidak banyak membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan agama Islam. Hanya  golongan Ansar (orang yang menolong dan membela Islam dalam segala bidang) dapat menyokong perkembangan Islam. Orang Ansar mencukupkan segala kepentingan diri demi agama Allah s.w.t, karena Allah s.w.t!
Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian kepada bidang ekonomi. Di dalam rencana pembangunan Madinah baginda s.a.w tidak lupa menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat perniagaan kaum Muslimin. Sebelumnya kaum Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi Banu Kainuka. Sistem pasar tersebut berjalan menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w sangat tidak menyukai apa saja yang berbeda dengan peraturan Allah s.w.t. Baginda s.a.w mau kaum Muslimin berniaga menurut prinsip perekonomian Islam. Oleh itu baginda s.a.w membuka pusat perniagaan yang baru. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Inilah lapak/tenda tempat perniagaan kamu, semoga ia tidak sempit dan tidak dipungut hasil padanya”.  Muncullah sebuah pasar kecil yang berperanan sebagai pasar bebas cukai milik kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah s.w.t. Pengunjungnya senantiasa bertambah dan pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi semakin lengang.
Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi bukan sekedar menyediakan kawasan perniagaan saja. Baginda s.a.w juga melindunginya agar keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana. Satu ketika baginda s.a.w melihat ada didirikan kemah di kawasan perniagaan tersebut. Baginda s.a.w memerintahkan agar kemah itu dibakar. Sebelum terjadi perlombaan mengawal kepentingan diri sendiri dengan mencabut hak orang lain, pertama-tama Rasulullah s.a.w mencabut pokok yang berbisa itu, sebelum ia sempat tumbuh segar dan merusakkan sistem perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w tidak mau ruang perniagaan menjadi sempit lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak ada pemilikan dan penguasaan individu di dalam kawasan perniagaan yang di bangun oleh Rasulullah s.a.w.
Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w melihat ada peniaga yang menumpuk gandum. Baginda s.a.w memasukkan tangan baginda s.a.w ke dalam tumpukan gandum itu dan mendapati bagian bawahnya basah. Baginda s.a.w memerintahkan agar bagian yang basah diletakkan di atas supaya pembeli tidak tartipu. Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang yang membawa barang ke pasar ini seperti orang yang berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan harga barang seperti orang yang kufur dengan Allah s.w.t”.
Di dalam rencana pembangunan Madinah masjid menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti bergerak mengelilinginya. ‘Roh’ kepada jantung itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Dari masjid baginda s.a.w memancarkan kehidupan yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga kebendaan. Jika masjid diibaratkan jantung, maka darah yang dihantarkan oleh jantung kepada semua bagian adalah al-Quran. Darah al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas dasar mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran.
Wahyu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut baginda s.a.w. Setiap kali wahyu turun terjadilah perubahan pada diri mereka dan suasana di sekeliling mereka. Wahyu yang dibacakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk mendatangkan perubahan. Apabila Rasulullah s.a.w membaca wahyu yang menegur sesuatu perkara yang ada pada mereka, maka dengan segera mereka mengambil tindakan menyesuaikan diri dengan teguran tersebut. Amalan, kepercayaan, tradisi dan apa saja, mereka bisa lepaskan dengan mudah apabila datang perintah wahyu. Pekerjaan berat dan belum pernah mereka lakukan akan menjadi ringan jika wahyu memerintahkan mereka melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang wahyu mengharamkan arak, orang yang sedang memegang botol arak terus mencampakkannya, sekalipun mereka merupakan orang yang ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu yang dibacakan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Kaum Muslimin senantiasa mengharapkan kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk, bimbingan dan teguran kepada mereka. Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan kekasih yang mereka rindui. Mereka fana di dalam wahyu hingga tidak ada perkataan yang menguasai mereka melebihi perkataan Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah wahyu yaitu kehambaan kepada Allah s.w.t hingga tidak ada yang menguasai mereka melainkan peraturan Allah s.w.t. Itulah umat Nabi Muhammad s.a.w yang fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah (kehambaan).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Mohon Komentar Anda Dengan Tulisan Ini